liberalisme dan pluralisme
Apa itu liberalisme? Apa itu pluralisme? Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria mendakwa faham-faham ini sebagai barah umat Islam sekarang ini. Faham asing ini juga boleh mengancam amalan keberagamaan (baca: Islam) di negara ini.
Alasannya, beberapa isu yang timbul kebelakangan ini yang menyentuh institusi agama negara ini adalah berpunca daripada faham yang kian 'menular'. Faraid, pertukaran agama (murtad), undang-undang keluarga Islam dan IFC (suruhanjaya antara agama) antara yang ditekan oleh golongan 'liberal'. Jika tidak dibendung, ianya akan menggugat keselamatan awam.
Saya tidak nampak kefahaman yang menyeluruh terhadap faham-faham ini. Masyarakat umum hanya melihat kelompok seperti Sisters In Islam, Astora Jabat, Farish Noor sebagai golongan liberal yang berbahaya yang cuba melarikan umat daripada hukum-hukum agama. Pluralisme pula difahami sebagai faham Islam sama taraf dengan agama lain. Dialog dan analisis tajam tiada dalam wacana awam. Apa yang lebih dirisaukan ialah keselamatan yang akan terancam akibat keterbukaan ini. Persoalannya, apakah sikap kita dalam mendepani wacana ini?
Beberapa isu terdahulu yang menyentuh isu-isu ini tampak dihadapi dengan desakan dan emosional. Paling terbaru, desakan BADAi di Pulau Pinang. Dalam wacana seharusnya bermula dengan interaksi yang baik, fikiran rasional dan tolak ansur dalam mencari jalan atau kesimpulan. Sebaliknya, bantahan atau memorandum pula yang timbul dahulu sebelum dialog bermula.
Siapa benar atau salah bukanlah persoalannya akan tetapi apa yang perlu diambil perhatian ialah sikap kita mendepani wacana-wacana ini. Kerana sikap kitalah yang menunjukkan sejauh mana kematangan sesuatu masyarakat. Polemik masyarakat negara kita mutakhir ini sebenarnya berpunca daripada kesediaan kita menghadapi wacana. Tidak sekadar ketidaksediaan malah penutupan akal dan budi kepada wacana yang menambah lagi derita.


